Apa itu jeragat?

Jeragat (freckle) merupakan salah satu daripada jenis masalah kulit.

Secara visualnya, orang yang mengalami masalah jeragat mempunyai tompokan kecil berwarna perang (coklat) kemerahan jika seseorang itu berkulit cerah atau perang gelap jika seseorang itu berkulit gelap pada kulit muka atau tubuh badan.

Warna jeragat juga boleh berubah mengikut ketebalan. Semakin tebal jeragat seseorang, semakin gelap warna tompokan.

Jeragat yang tebal adalah tompokan jeragat yang (padat) memenuhi sesuatu kawasan pada kulit wajah atau tubuh badan. Ini menyebabkan kawasan kulit itu terasa tebal atau kadangkala lebih timbul berbanding kawasan kulit yang lain.

Jeragat tidak menyebabkan nanah atau benjolan seperti bisul atau jerawat dan juga tidak menyebabkan rasa gatal. Tetapi jika seseorang itu tidak jaga kebersihan kulit muka atau terdedah kepada alahan, jerawat, nanah atau rasa gatal juga boleh muncul.

Jeragat merupakan lapisan tisu (sel-sel) kulit mati atau hidup yang mempunyai warna lebih gelap daripada sel-sel kulit asal yang lain. Warna yang lebih gelap ini disebabkan oleh penghasilan melanin oleh melanosit secara berlebihan oleh tisu kulit.

Dalam bahasa yang mudah jeragat adalah lapisan kulit yang berwarna lebih gelap dan mengalami perubahan (kerosakan) pada tahap sel.

Punca Jeragat

Cahaya Matahari (Sinar UV)

Cahaya matahari mempunyai sinar UV A dan UV B yang boleh merosakkan sel kulit jika terdedah pada tempoh waktu tertentu.

Pigmen atau melanin sepatutnya dihasilkan untuk melindungi lapisan kulit.

Tetapi tisu kulit menjadi rosak lantas merencatkan proses ini menyebabkan jeragat pada lapisan kulit.

 

Bahan Kimia Berbahaya

Bahan kimia berbaya tidak semestinya datang dari sumber kimi seperti kilang atau loji. Bahan kimia seperti hydroquinone dan mercury (merkuri) boleh dijumpai dalam produk kosmetik yang tidak selamat.

Bahan seperti ini mungkin tidak memberi kesan secara langsung. Kesan jeragat dan kerosakan pada kulit boleh dilihat apabila bahan-bahan tersebut ditinggalkan (tak digunakan lagi) atau digunakan dalam jangka masa yang lama.

Faktor pencemaran yang menyebabkan kulit terdedah pada radikal bebas juga boleh menyebabkan jeragat muncul.

Masalah Hormon

Hormon juga merupakan salah satu punca terjadinya jeragat pada kulit wajah seseorang.

Biasanya ibu yang mengandung lebih cenderung untuk alami masalah ini. Ketika mengandung, jeragat secara tiba-tiba muncul pada kulit muka sama ada sedikit atau pun banyak (tebal).

Selain itu, faktor penggunaan ubat-ubatan sama ada diambil secara makan atau cucuk yang boleh ganggu kestabilan hormon dalam badan turut boleh menggalakkan kemunculan jeragat.

Genetik (Keturunan)

Jika sesorang itu mempunyai sejarah keturunan mempunyai jeragat, kemungkinan besar seseorang itu akan mempunyai jeragat walau dari usia muda.

Jeragat jenis ini bukan disebabkan oleh faktor luaran seperti sinar matahari atau bahan kimia. Tetapi jeragat tersebut muncul secara semula jadi.