Penuaan Pada Kulit

Proses penuaan adalah proses semulajadi dan biasa bagi setiap orang. Tetapi proses penuaan kulit yang lebih cepat dari waktu atau pra-matang yang menjadi kerisauan bagi setiap wanita.

Semakin hari garis-garis halus dan lipatan pada kulit wajah mula jelas kelihatan. Pada usia yang muda, masalah ini cukup membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan penampilan dan tahap keyakinan diri seseorang wanita.

Apakah punca kepada kemunculan kerutan dan garis halus pada wajah ini?

Struktur kulit samada tegang atau kendur dipengaruhi oleh beberapa faktor.

Antara faktor utama adalah :

  • Komposisi sel pada tisu kulit.
  • Struktur fizikal sel kulit.
  • Bilangan / keadaan kolagen dalam tisu kulit.

Tisu kulit yang tegang memiliki lebih banyak sel kulit yang sihat, tegap, dan turut mempunyai lebih banyak kolagen.

Sebaliknya tisu kulit yang kendur mempunyai banyak sel kulit mati atau tidak sihat, sel kulit kurang tegap, dan kurang bilangan kolagen. Ini menjadikan struktur tisu kulit kurang ketegangan dan keanjalan.

Maka akan munculnya garis-garis pada bahagian kulit muka yang terlipat.

Garis Halus

Garis halus merupakan tanda-tanda awal kepada penuaan kulit. Bisanya garis halus muncul pada kawasan-kawasan seperti bawah dan tepi kelopak mata, dahi, pipi, dan kawasan mulut.

Garis-garis halus muncul apabila permukaan kulit yang kurang ketegangan dan keanjalan itu 'berlipat'. 'Lipatan' pada kulit wajah ini lama kelamaan menjadi kekal dan menyebabkan garis halus sentiasa terlihat pada kulit wajah.

Garis-garis halus dikatakan tanda-tanda awal kepada penuaan kulit kerana apabila tidak dirawat atau dijaga dengan baik, seterusnya ia akan menjadi kedutan pada kulit wajah.

Kulit Berkedut

Apakah perkara yang mempengaruhi kulit wajah sehingga berkedut dan mengelebeh? Jawapannya adalah 'graviti'. Apabila semakin usia kita bertambah, semakin banyak sel kulit mati yang terkumpul dan kolagen juga semakin berkurang.

Sel-sel kulit mati yang tidak disingkirkan dan terkumpul menyebabkan kulit kita menebal dan hilang ketegangan. Tarikan graviti (ke bawah) menyebabkan kulit kita tertarik ke bawah dan jadi mengelebeh.

Maka dengan itu kulit muka kita akan mempunyai kedutan dan menggelebeh.