Apa itu Jerawat?

Jerawat merupakan antara mimpi ngeri bagi wanita. Kemunculan jerawat pada waktu yang salah boleh menyebabkan seseorang wanita menjadi stress dan murung.

Secara amnya, jerawat adalah keadaan tidak normal atau keradangan pada kulit terutamanya kulit muka. Terdapat beberapa jenis utama jerawat yang dapat dikelaskan. Seseorang itu boleh mengalami hanya satu, dua, atau lebih jenis jerawat pada kulit wajah dalam satu-satu masa.

Mari kita lihat jenis-jenis jerawat tersebut.

Jenis-jenis Jerawat

Whitehead

Whitehead merupakan antara masalah biasa yang dialami bagi individu yang memiliki liang pori besar pada kulit wajah.

Pada pandangan mata whitehead kelihatan seperti bintik-bintik putih pada permukaan kulit muka.

Kadang-kadang whitehead boleh muncul tanpa disedari kerana tidak kelihatan pada permukaan kulit.

Whitehead tersembunyi ini berada dalam liang pori terutamanya liang pori yang kelihatan besar. Apabila liang pori ini dipicit, cecair sebum akan keluar dari permukaan kulit.

Blackhead

Blackhead adalah bintik hitam yang kelihatan lebih jelas atau 'kotor' jika muncul pada wajah seseorang. Jika dikeluarkan, blackhead lebih keras berbanding whitehead yang seperti cecair.

Blackhead lebih kerap muncul pada kawasan hidung kerana liang pori pada kawasan ini lebih besar dan kotoran didalamnya lebih sukar untuk dicuci.

Papules

Secara fizikal papules adalah benjolan lembut kecil atau besar berwarna kemerahan pada permukaan kulit. Papules merupakan keradangan kulit yang tidak mengakibatkan nanah tetapi boleh menyebabkan rasa gatal.

Tahap keterukan papules dapat dilihat kepada jumlah benjolan merah (keradangan) pada permukaan kulit serta saiz benjolan.

Pustules

Pustules adalah benjolan keradangan pada permukaan kulit yang turut mempunyai nanah (pus). Apabila minyak muka (sebum), kotoran, dan bakteria terkumpul dalam liang pori, maka nanah akan muncul.

Sesetengah pustules tidak menyebabkan rasa sakit atau kurang selesa pada wajah tetapi bagi masalah yang kritikal, rasa sakit atau gatal turut boleh dialami.

Nodules

Nodules adalah jenis jerawat yang lebih kronik dan lebih sukar untuk dirawat. Nodules merupakan keradangan pada lapisan dalam kulit serta terasa keras pada bahagian dalam kulit berpunca dari nanah yang terkumpul.

Jika tidak dirawat dengan betul dari peringkat awal, nodules lebih susah untuk hilang dan boleh menyebabkan parut yang dalam dan kekal.

Kawasan kulit muka yang mempunyai nodules akan terasa tidak selesa dan berasa sakit jika disentuh.