Penafian : Kami tidak merujuk kepada individu cantik berkulit gelap atau kulit hitam secara semulajadi. Artikel ini berkenaan masalah kulit gelap yang biasa dialami oleh wanita.

Masalah Kulit Gelap

Tidak jadi masalah jika memiliki kulit dengan tona yang gelap secara semulajadi (natural).

Dalam banyak keadaan berkulit hitam mungkin lebih baik dari berkulit putih. Masalah jerawat, jeragat, kulit terbakar jarang 'hinggap' pada orang yang mempunyai tona kulit gelap.

Tetapi apa yang membimbangkan para wanita adalah warna kulit yang putih cerah bertukar menjadi gelap. Apakah punca orang berkulit cerah bertukar menjadi gelap?

Lapisan kulit mengandungi pigmen (warna) semulajadi yang diberikan oleh melanin.

Melanin adalah bahan yang melindungi sel-sel kulit daripada terdedah secara langsung kepada cahaya matahari atau haba panas.

Jumlah melanin pada setiap individu adalah tidak sama. Semakin gelap tona kulit seseorang semakin tinggi jumlah melanin pada kulitnya.

Jumlah melanin juga boleh bertambah jika kulit terdedah kepada cahaya matahari atau haba panas pada waktu yang lama.

Punca Masalah Kulit Gelap

Sinar Matahari

Cahaya matahari mengandungi sinar ultraviolet (UV) yang boleh merosakkan sel kulit. Kulit yang terdedah pada sinar UV terlalu lama atau kerap berisiko mengalami masalah pigmentasi, jeragat, dan kanser kulit.

Untuk mengelak daripada masalah-masalah tersebut berlaku, tubuh badan kita mempunyai mekanisma pertahanan semulajadi iaitu dengan menghasilkan melanin.

Walaupun penghasilan melanin adalah dengan tujuan yang baik, tetapi ia menyebabkan sesorang itu tidak gembira dengan tona kulit yang berubah kepada lebih gelap terutamanya jika tidak terkawal.

Bahan Kimia

Selain dari faktor cahaya matahari, penggunaan bahan kimia yang tidak sesuai dengan kulit muka juga boleh menyebabkan wajah berubah menjadi gelap.

Penggunaan bahan berminyak (oil based) pada kulit boleh menyebabkan kulit bertukar menjadi gelap.

Selain itu, bahan kosmetik yang menyebabkan kulit sukar untuk 'bernafas' atau mengandungi bahan yang mengeringkan kulit turut juga boleh menggalakkan penghasilan melanin.

Antara punca biasa kulit seseorang menjadi gelap adalah:

  • berenang di kolam atau laut
  • berjemur pada panas
  • tidak memakai pelindung suria (sun screen)
  • terdedah pada haba panas (memasak atau mesin)